KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan (Pindaan) 2025, yang berperanan memperkukuh langkah melindungi industri tempatan daripada amalan perdagangan tidak adil oleh negara luar diluluskan hari ini di Dewan Negara.
RUU tersebut dibawa untuk bacaan kali kedua dan ketiga oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong.
Chin Tong berkata, pindaan tersebut penting bagi menangani isu lambakan produk konvensional yang dijual lebih murah di Malaysia berbanding harga di negara pengeluar sendiri.
“Selain itu, ia turut menyasarkan import yang diberikan subsidi tidak adil oleh negara pengeluar dan kemudiannya dijual di Malaysia dengan harga lebih rendah, sekali gus memudaratkan pengeluar tempatan.
“Pentingnya pindaan undang-undang ini supaya siasatan dapat dibuat dan tindakan boleh dilaksanakan.
“Walaupun sebelum ini kita sudah ada undang-undang, tetapi ia tidak mencukupi,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU tersebut yang dibahaskan oleh lima ahli Senator di Dewan Negara hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata, MITI telah melancarkan sistem pengurusan siasatan remedi perdagangan (TRIMA) untuk memudah cara proses pengemukaan petisyen oleh pengeluar tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Katanya, kerajaan tidak mengenakan sebarang kos terhadap industri tempatan, sebaliknya hanya memerlukan mereka mengisi borang selidik serta mengemukakan bukti secara digital melalui sistem TRIMA.
“Ini dilaksanakan demi kelangsungan industri tempatan. Kerajaan juga menyediakan khidmat nasihat teknikal dan bimbingan untuk membantu PKS termasuk industri hiliran meningkatkan pemahaman mengenai langkah-langkah anti-lambakan serta timbal balas.
“Perkhidmatan kerajaan dari segi melaksanakan tindakan-tindakan amalan perdagangan adalah untuk semua pengeluar tempatan dari pelbagai sektor dan tidak terhad kepada sektor besi dan keluli,” katanya.
Katanya, kawalan dan penguatkuasaan dilaksanakan menerusi dasar percukaian serta kerjasama agensi berkaitan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, serta Kementerian Kewangan bagi isu lambakan melalui e-dagang.
