KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin di Gaza sebagai tidak berperikemanusiaan dan menyerupai ‘jelmaan syaitan’ berikutan pembunuhan beramai-ramai serta tindakan membiarkan penduduk wilayah itu kebuluran.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini, Dr. Mahathir menegaskan tindakan rejim Israel membunuh lelaki, wanita, kanak-kanak termasuk bayi yang baru lahir, menunjukkan mereka ‘tidak mungkin lagi sebahagian daripada manusia’.
“Mereka secara terbuka melakukan pembunuhan beramai-ramai. Kini mereka dengan kejamnya membiarkan rakyat Gaza mati kebuluran.
“Dunia dapat melihatnya. Kanak-kanak, bayi, orang dewasa kini hanya tinggal rangka, kulit yang menegang di atas tulang,” katanya.
Beliau turut menyifatkan penderitaan yang ditanggung rakyat Gaza adalah hasil kezaliman rejim Israel yang menggunakan serangan udara dan bom, menyebabkan ribuan rakyat Palestin terkorban atau tercedera serta tertimbus di bawah runtuhan bangunan.
Dr. Mahathir berkata Israel menyedari penderitaan itu, namun tetap membiarkan ia berlarutan dalam tempoh yang lama.
“Tiada harapan. Mereka sedang mati. Bukan serta merta, tetapi melalui penderitaan yang berpanjangan selama berbulan-bulan, berminggu-minggu, dan berhari-hari sebelum maut,” katanya.
Beliau turut mengingatkan Israel sepatutnya memahami penderitaan akibat kebuluran, memandangkan nenek moyang bangsa mereka sendiri pernah melalui pengalaman tersebut.
“Seorang manusia yang waras tidak mahu orang lain menanggung penderitaan yang sama. Namun, Israel langsung tidak menunjukkan sebarang perasaan.
“Mereka menimpakan penderitaan ini bukan kepada pihak yang pernah menzalimi mereka, tetapi kepada bangsa yang pernah memberi perlindungan sewaktu mereka memerlukan,” katanya.
Dr. Mahathir berkata, tindakan rejim Zionis tidak menunjukkan sekelumit rasa syukur mahupun belas kasihan, sebaliknya menyerupai raksasa yang tidak peduli walaupun dikecam oleh seluruh dunia.
“Seperti jelmaan syaitan, mereka membunuh dan membiarkan orang tidak berdosa mati kebuluran. Tidak ada walau secubit rasa kasihan. Mereka bukan manusia. Mereka adalah raksasa. Sejarah dunia akan merakamkan perkara ini. Orang Israel adalah jelmaan syaitan,” katanya.
