KUALA LUMPUR: Pelaksanakan cadangan pengasingan kuasa penuh membabitkan Peguam Negara dan Pendakwa Raya adalah setara dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana diputuskan Jemaah Menteri.
Keputusan dibuat selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Sri Azalina Othman Said membentangkan model-model pengasingan kuasa kedua-dua jawatan tersebut kepada Jemaah Menteri.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, setelah pertimbangan dibuat, Jemaah Menteri memutuskan untuk melaksanakan cadangan pengasingan penuh di mana kedua-dua jawatan itu diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Keputusan ini diambil selepas meneliti Laporan Akhir dan Hala Tuju yang disediakan oleh Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif yang dipengerusikan oleh Menteri.
“Bagi tujuan ini, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42 akan digubal secara berasingan bagi mewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang berkuasa sendiri,” katanya hari ini.
Menurut kenyataan itu, satu Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) akan digubal secara omnibus untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah dan 18 akta lain yang berkaitan.
Pada masa sama, katanya, satu akta baharu khusus mengenai saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga akan diwujudkan sebagaimana Akta Saraan Hakim 1971 [Akta 45].
“Jemaah Menteri turut bersetuju bahawa pelaksanaan ini dibuat secara berfasa, dengan beberapa penyesuaian pada struktur dan prosedur sedia ada.
“Justeru itu, Pasukan Petugas Khas Teknikal yang diterajui oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) bersama Jabatan Peguam Negara, dengan penglibatan Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan meneruskan peranan selanjutnya untuk memperincikan semua aspek pelaksanaan termasuk struktur organisasi, perjawatan, logistik dan implikasi kewangan,” katanya.
Menurutnya lagi, syor lengkap hasil perincian itu akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan, supaya pindaan diperlukan dapat dilaksanakan dan pelaksanaan pengasingan dijalankan dengan sewajarnya, selaras dengan Perlembagaan serta undang-undang sedia ada.
“Langkah ini merupakan reformasi institusi perundangan yang holistik dan signifikan di bawah kerangka Kerajaan Madani, bagi mengukuhkan tadbir urus, memperkasakan kedaulatan undang-undang dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara,” katanya.
