
IPOH: Golongan T20 dan M40 kini semakin ramai mendapatkan rawatan di hospital awam susulan kenaikan kos rawatan swasta dan premium insurans yang tinggi.
Menteri Kesihtan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ramai dalam kalangan mereka kini membatalkan polisi insurans dan memilih hospital awam, terutama bagi kes kecemasan dan rawatan susulan yang mahal.
“Sebab itu perlu ada kerjasama antara IDOS Insurance Takaful Organisation, Bank Negara, pihak swasta serta pengendali hospital swasta agar kita dapat meredakan “medical inflation” di negara ini yang ketika ini jauh lebih tinggi berbanding kadar purata inflasi nasional,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Negeri Perak Parti Amanah Negara 2025 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Hospital Kuala Lumpur (HKL) kini menjadi tumpuan sebahagian golongan kenamaan dan T20.
Tambah beliau, walaupun hospital awam terbuka kepada semua, peningkatan pesakit daripada golongan berpendapatan lebih tinggi memberi cabaran kepada Kementerian Kesihatan dalam menampung keperluan fasiliti dan tenaga kerja sedia ada.






