
JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menjalankan siasatan terperinci terhadap fahaman yang dibawa seorang wanita dikenali sebagai ‘Ratu Nur Putri Ratu Balqis’ sebelum sebarang keputusan termasuk fatwa dibuat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Fared Khalid, berkata hasil penelitian awal mendapati terdapat unsur penyelewengan akidah dalam kenyataan yang dikeluarkan individu terbabit.
Menurutnya, antara dakwaan yang dibangkitkan termasuk pengakuan sebagai ‘roh kudus’ serta individu tertentu yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam.
“Pernyataan itu menunjukkan kecenderungan menyimpang dan berunsur sesat. Laporan lengkap akan diserahkan kepada Jabatan Mufti Johor untuk tindakan lanjut,” katanya ketika mengulas perkembangan siasatan terhadap fahaman berkenaan yang kembali tular di media sosial sejak 26 Mac lalu.
Fared memaklumkan, fahaman itu sebenarnya telah dikesan sejak 2018, namun kembali aktif apabila beberapa video baharu dimuat naik oleh individu terbabit.
Namun, katanya, setakat ini pengaruh ajaran tersebut masih terkawal dan tidak merebak secara meluas dalam masyarakat.
“Setakat ini, pengikutnya hanya melibatkan ahli keluarga terdekat, termasuk anak dan abang kandung,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Agama Islam Negeri Johor turut bekerjasama dengan pihak polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memantau serta menyekat penyebaran kandungan berkaitan ajaran berkenaan.
Katanya, semua video yang mempromosikan fahaman itu telah diturunkan, manakala individu terbabit kini berada dalam pemantauan pihak berkuasa.
“Kita tidak akan bertindak terburu-buru kerana setiap kes melibatkan fahaman baharu perlu diteliti secara mendalam dari sudut hukum sebelum keputusan muktamad dibuat,” katanya.




