
PUTRAJAYA : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memulakan proses semakan dan penelitian terhadap beberapa peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 [Akta 333] bagi membolehkan hukuman yang lebih berat dikenakan kepada pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli memaklumkan pihaknya melalui bahagian undang-undang kini sedang meneliti secara terperinci Seksyen 44 dan Seksyen 45 di bawah akta berkenaan.
Beliau berkata, proses tersebut dilaksanakan terlebih dahulu sebelum dibawa kepada perhatian Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk sebarang ketetapan.
“Menteri Pengangkutan telah mengarahkan MOT dan JPJ untuk meneliti semula Seksyen 44 dan Seksyen 45 di bawah APJ.
“Ini untuk kita kenakan tindakan yang lebih keras dan tegas kepada pesalah yang melibatkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh (DUI) iaitu mabuk ataupun dadah untuk kita kenakan tindakan yang lebih berat,” katanya selepas perhimpunan setia JPJ di sini hari ini.
Tambah Aedy Fadly, JPJ juga akan mengerakkan program advokasi yang lebih agresif bagi memberi kesedaran bahaya pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Ketika ditanya mengenai cadangan supaya diwujudkan satu mahkamah khas bagi kes kemalangan besar dan serius, beliau memberitahu JPJ mengalu-alukan cadangan berkenaan yang boleh meningkatkan kesedaran umum tentang aspek keselamatan jalan raya.
“Kita mengalu-alukan sekiranya ada keputusan untuk mewujudkan mahkamah yang berasingan tetapi kita faham ia akan melibatkan beberapa implikasi seperti kewangan, sumber manusia dan sebagainya. Jika ada keputusan kerajaan untuk mewujudkan mahkamah khas itu kita sangat alu-alukan,” katanya.






