
SEREMBAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai ditinggalkan di dalam sebuah kereta yang diletakkan di belakang sebuah bank berhampiran Jalan Tunku Hassan, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, mangsa dipercayai ditinggalkan di dalam kenderaan itu sejak pukul 8 pagi dan hanya disedari sekitar pukul 5 petang.
Katanya, polis menerima panggilan kecemasan MERS 999 pada pukul 6.15 petang daripada orang awam yang memaklumkan penemuan seorang kanak-kanak tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa berada di dalam sebuah kenderaan jenis Proton Saga berwarna putih dan dipercayai ditinggalkan oleh ibunya sejak awal pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ibu mangsa dipercayai terlupa untuk menghantar kanak-kanak berkenaan ke rumah pengasuh dan hanya menyedari kejadian itu selepas tamat waktu bekerja.
Jelasnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) sebelum mayat dihantar ke Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan ibu mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, Azahar menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan meminta mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222.





