
PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kekal yakin jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang, mempunyai kemampuan untuk memburu pingat emas pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata keyakinan itu, selari dengan matlamat program Road to Gold (RTG) yang diwujudkan bagi membantu atlet berpotensi tinggi negara, merealisasikan impian meraih emas Olimpik pertama Malaysia.
Beliau berkata keyakinan terhadap pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu, turut bersandarkan data dan fakta.
“Kita yakin dengan semua atlet kita. Apabila kita menetapkan sasaran, itu ada keyakinan. Tak guna kita ada program Road to Gold, tetapi kita tidak yakin.
“Yang penting, pertama yakin dulu. Kedua, keyakinan itu mesti datang dengan pelaksanaan dan aksi yang menyeluruh,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan proses kelayakan LA28 di Menara KBS di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada yakin Mohd Azizulhasni mampu menghadiahkan pingat emas buat negara pada LA28.
Mohammed Taufiq bagaimanapun menegaskan keyakinan dan harapan KBS, tidak hanya diletakkan kepada Mohd Azizulhasni, sebaliknya kepada semua atlet yang berada dalam program berkenaan.
Terdahulu, Mohammed Taufiq mengesahkan Mohd Azizulhasni yang mencipta sensasi memenangi emas keirin pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 baru-baru ini, bersetuju menerima tawaran untuk meneruskan misi bersama skuad negara menuju LA28.
Beliau berkata keputusan memberi laluan kepada bekas juara dunia berusia 38 tahun itu meneruskan perjuangan, telah dipersetujui dalam mesyuarat Lembaga MSN pada 13 Ogos lepas.
Mohammed Taufiq berkata surat tawaran dikeluarkan dua hari lepas, sebelum KBS menerima maklum balas daripada Mohd Azizulhasni semalam yang menyatakan persetujuannya untuk terus berkhidmat kepada negara.
“The Pocket Rocketman” yang memenangi gangsa keirin pada Olimpik Rio 2016 sebelum meraih perak acara sama di Tokyo 2020, masih memburu emas Olimpik pertama dalam kariernya.
Pada edisi Paris 2024, cabarannya dalam keirin berakhir seawal saringan pertama selepas dibatalkan penyertaan kerana memintas derny sebelum ia meninggalkan trek pada aksi di Velodrom Nasional Saint-Quentin-en-Yvelines. – BERNAMA






