
ALOR SETAR: Kehilangan enam sekeluraga sejak Sabtu lalu terjawab selepas penemuan kereta di dalam Sungai Korok, di Jitra, Kedah.
Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, mayat terdiri daripada seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa, tiga kanak-kanak dan seorang bayi.
Anak sulung mangsa, Putri Qisya Mohamad Azim Izat, 12 ketika ditemui berkongsi mimpi pesanan arwah bapanya awal pagi tadi supaya tidak bersedih dan mereka akan menjaga dirinya daripada jauh.
““Saya tertidur di sofa pagi tadi tiba-tiba arwah ayah datang dengan wajah putih berseri dan beritahu, ‘Jangan sedih, kami tengok kakak dari jauh. Tak apa ramai yang akan jaga kakak nanti.’ Kemudian menghilang.
“Saya terjaga dengan perasaan berdebar sebelum ternampak berita kematian mereka di media sosial,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Terdahulu media menyiarkan kehilangan Mohamad Azim Izat, 32 bersama isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak iaitu Putra Rayyan Nur Izat, 9; Hawa Adriana, 8; Anayla Huma’ira, 7, dan Tuah Haidar yang baru berusia enam bulan maut setelah kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terhumban ke dalam Sungai Korok dalam kejadian awal pagi, Sabtu lepas.
Putri Qisya tidak terlibat dalam kemalangan itu setelah tidak mengikuti keluarganya bermalam di rumah ibu saudara di Taman Sri Aman, Jitra pada malam Jumaat lepas.
“Selalunya memang saya ikut mak dan ayah tetapi malam itu saya rasa macam malas nak ikut. Saya beritahu arwah dan mereka benarkan saya tinggal dengan nenek di Jerlun. Saya langsung tak sangka perkara ini akan berlaku.
“Apabila mereka tidak pulang seperti sepatutnya hari Sabtu itu saya sudah rasa berdebar-debar. Saya dan mak saudara keluar mencari mereka di merata tempat, di semua sungai berdekatan kami pergi,” katanya.
Ketika ditanya tentang perubahan sikap ahli keluarganya itu, Putri Qisya memberitahu, ketiga-tiga adiknya itu kelihatan lebih manja tidak seperti sebelum ini.
“Mereka jadi manja pada malam sebelum keluar itu, adik-adik semua datang peluk saya dan mengusik saya kerana, kata mereka rugi sebab tidak ikut mereka.
“Sekarang saya baru perasan, apa yang mereka maksudkan rugi itu. Mereka pergi berenam dalam keadaan yang sangat mulia kerana lemas,” katanya dengan nada sedih.
Tambahnya, dia memilih untuk menetap dengan ibu saudaranya, Nur Adliah Syuhada Ishak, 26, yang menetap di Taman Sri Aman selepas ini.
Katanya, kesemua jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bohor Karang Ayer Hitam bersebelahan dengan kubur adiknya yang juga merupakan kembar kepada Tuah Hayder.