GENEVA: Kejelasan dan kestabilan dasar kerajaan menjadi faktor utama yang terus menarik minat pelabur asing ke Malaysia, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Kata beliau, keyakinan pelabur didorong oleh dasar-dasar konsisten yang dilaksanakan kerajaan seperti Rancangan Malaysia, Kerangka Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Kejelasan dan kestabilan dasar ini menjadi daya tarikan utama kepada pelabur.
Mereka yakin dasar-dasar ini tidak akan diubah secara sewenang-wenangnya,” katanya ketika berucap dalam sesi pertemuan bersama komuniti diaspora Malaysia di Rumah Malaysia, Geneva, semalam.
Fahmi turut merujuk kepada angka pelaburan rasmi yang diumumkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), yang menunjukkan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebelum ini memaklumkan bahawa negara mencatatkan pelaburan diluluskan berjumlah RM89.8 bilion bagi suku pertama 2025, peningkatan 3.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu meskipun dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar.
Dalam sesi yang dihadiri kira-kira 50 rakyat Malaysia yang bekerja dan belajar di Switzerland, serta kakitangan wakil tetap Malaysia ke PBB di Geneva, Fahmi turut berkongsi pencapaian negara dalam sektor komunikasi.
“Malaysia kini antara 10 negara di dunia yang menawarkan harga internet termurah, dan mencatat kelajuan internet kedua terpantas di Asia Pasifik selepas Korea Selatan,” katanya.
Wakil Tetap Malaysia ke PBB di Geneva, Datuk Nadzirah Osman, menyifatkan pertemuan tersebut sebagai platform penting untuk rakyat Malaysia di perantauan mendapat maklumat terus daripada pimpinan negara.
“Program ini beri peluang rakyat Malaysia di Geneva untuk bertukar pandangan dengan menteri dan mendengar sendiri perkembangan terkini di tanah air,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Malaysia Geneva, Syakira Ramli, berkata pelbagai topik dibincangkan, termasuk potensi Malaysia untuk belajar daripada kemajuan Switzerland dalam sektor pendidikan, kewangan dan infrastruktur.
Malvyn Tan, 62, Ketua Bahan Api Komersial di Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), turut menyambut baik sikap terbuka Fahmi dalam mendengar pandangan dan maklum balas diaspora Malaysia.
“Fahmi sangat terbuka, membuatkan kami selesa berkongsi pengalaman. Beliau juga sudi berkongsi perkembangan di Malaysia secara telus, dan itu amat saya hargai,” katanya.
Datuk Fahmi kini mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Dunia WSIS+20 yang berlangsung dari 7 hingga 11 Julai di Geneva, sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI memperkukuh ekosistem teknologi komunikasi negara selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
