
KUALA LUMPUR: Sikap naif menjadikan masyarakat di negara ini sering beranggapan platform media sosial boleh digunakan untuk menulis atau menyatakan apa sahaja idea mereka walaupun ia menyalahi undang-undang.
Pakar geostrategi, Dr. Azmi Hassan berkata, ramai yang tidak mengetahui apa kesan dan akibatnya apabila membuat hantaran jelik, terutamanya mengenai isu-isu sensitif seperti monarki dan agama dalam platform media sosial.
“Orang ramai sering berasakan akaun media sosial mereka adalah tempat untuk mereka meluahkan apa sahaja, sama ada pandangan peribadi atau pendapat mengenai pelbagai isu termasuk perkara-perkara sensitif seperti agama dan perkauman.
“Mereka beranggapan akaun mereka adalah hak privasi yang tidak boleh diganggu tanpa memikirkan kesan dan akibat kepada senario masyarakat majmuk dan institusi beraja yang dipegang Perlembagaan negara,” katanya.
Beliau mengulas isu semakin ramai masyarakat tidak bersikap sensitif apabila sesuka hati memuat naik hantaran yang menyentuh isu monarki dan agama dalam platform media sosial.
Terdahulu, seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Sesyen di Shah Alam bagi pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menerusi akaun Facebook miliknya pada 4 Januari lalu.
Tertuduh, Suhaila Abd Halim, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norazlin Othman.
Mengikut pertuduhan, ibu kepada enam anak itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya kepada Yang di-Pertuan Agong dengan niat menyakiti hati orang lain.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama.
Dalam pada itu, Azmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu bersikap lebih agresif dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesalahan yang sering dibuat menerusi media sosial, termasuk melakukan hantaran jelik.
Katanya, masyarakat hari ini tidak melihat MCMC seperti badan penguatkuasa yang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyebabkan mereka tidak memahami fungsi MCMC secara menyeluruh.
“Rakyat kita perlu dimaklumkan lebih teliti dan menyeluruh mengenai kesalahan yang boleh berisiko lakukan menerusi media sosial. Mereka ingat hanya PDRM boleh tahan atau tangkap orang.
“Mereka perlu tahu MCMC juga memainkan peranan penting dalam menjaga sahsiah positif dalam platform digital dan sentiasa memantau sebarang hantaran yang berisiko.
“Pada masa sama, kita perlu didik masyarakat, kebebasan bersuara itu bukannya boleh bercakap atau menulis tanpa arah tujuan sehingga boleh mencetuskan kekecohan,” katanya.





