Oleh FARHAN FAUZI
KUALA LUMPUR: Tuduhan pihak pembangkang mengenai lawatan rasmi Perdana Menteri hanyalah sekadar ‘jalan-jalan disifatkan sebagai pandangan cetek yang tidak memahami realiti geopolitik dan kepentingan strategik negara.
Kenyataan itu bukan sahaja menggambarkan kemiskinan idea dalam kalangan pembangkang, malah mencerminkan ketidakmatangan dalam menilai dasar luar dan diplomasi ekonomi negara.
Setiap lawatan rasmi Perdana Menteri membawa agenda besar yang merangkumi misi menarik pelaburan berkualiti tinggi, memperkukuh kerjasama strategik, membuka pasaran baharu untuk syarikat Malaysia, serta memperjuangkan kepentingan negara membangun di platform antarabangsa seperti BRICS.
Pencapaian diplomasi ekonomi di bawah kepimpinan Kerajaan MADANI terbukti melalui peningkatan pelaburan yang diluluskan sebanyak 14.9 peratus dengan nilai mencecah RM378 bilion, serta nilai dagangan yang mencapai RM2.88 trilion iaitu peningkatan sebanyak 9.2 peratus pada tahun 2024.
Malaysia juga berjaya menyambung semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU), selain memeterai FTA baharu bersama negara-negara EFTA, sekali gus membuka peluang pasaran yang lebih luas kepada syarikat tempatan.
Ini bukan soal suka-suka melancong. Ini soal diplomasi ekonomi yang proaktif dan berstrategi untuk masa depan negara.
Terdapat perbezaan pencapaian semasa dengan era pentadbiran terdahulu yang disifatkannya sebagai lemah dan ketandusan visi, menyebabkan Malaysia tidak menonjol di peringkat global.
Di bawah kepimpinan MADANI, Malaysia dilihat sebagai rakan strategik yang berprinsip dan stabil.
Dunia kembali memandang kita sebagai negara yang serius, bukan sekadar ‘belalang di tepi lautan’.
Tokoh-tokoh pembangkang juga perlu lebih memahami denyut nadi rakyat dan berhenti memainkan persepsi yang tidak berasas.
Hal ini kerana, rakyat hari ini tidak mudah terpengaruh dengan tohmahan kosong.
Mereka lebih bijak menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk negara, dan siapa yang sekadar bermain politik tanpa hikmah.
