
KUANTAN: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited memperkukuh keselamatan dan kemampanan sumber air negara dengan merancakkan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan infrastruktur air di seluruh negara.
Timbalan Ketua Setiausaha (Air) PETRA, Datuk Mohd Rodzwan Mohd. Baba Sakri berkata, kerajaan Persekutuan melalui PETRA telah melaksanakan pelbagai inisiatif terutama dalam projek pembangunan dengan meluluskan sebanyak 38 projek pembangunan dengan kos projek bernilai RM5.9 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di negeri Pahang.
“Peruntukan tahun ini iaitu dalam Rolling Plan Kelima (RP 5) adalah sebanyak RM504.2 juta.
“Inisiatif ini mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan akses air bersih dan perkhidmatan bekalan yang mampan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Air Sedunia 2025 di Dataran Sayangi Kuantan, di sini hari ini.
Majlis berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohamad Nizar Najib yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam pada itu, Mohd Rodzwan menambah, PETRA percaya bahawa pembangunan infrastruktur air perlu seiring dengan pendidikan awam dan penyertaan masyarakat.
Justeru, katanya, sambutan tersebut menjadi platform advokasi nasional yang menghimpunkan pelbagai pihak daripada pelajar hingga sektor swasta bagi menyemai rasa tanggungjawab bersama dalam menjaga khazanah air negara.

“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, usaha ini mencerminkan tekad PETRA untuk mempercepat pelaksanaan projek air berimpak tinggi, memastikan kelangsungan bekalan air serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat secara inklusif dan lestari,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, tema Hari Air Sedunia Tahun 2025 adalah Glacier Preservation yang menekankan kepentingan pemuliharaan glasier sebagai sumber air tawar dunia.
Begitupun, katanya, tema sambutan Hari Air Sedunia Tahun 2025 Peringkat Kebangsaan telah disesuaikan dalam konteks negara iaitu Air untuk Kehidupan dengan slogan AirKU, HidupKU, DuniaKU.
Ditanya mengenai pemilihan negeri Pahang, Mohd Rodzwan memberitahu ia adalah sangat bertepatan apabila negeri itu mempunyai hubungan erat dengan air dipengaruhi oleh geografi, ekonomi dan warisan budayanya.
“Sebagai contoh, sungai Pahang yang merupakan sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia telah lama menjadi tulang belakang kepada penempatan masyarakat, pertanian dan Perindustrian,” katanya.

Program bermula 4 hingga 5 Julai itu menarik lebih 2,000 pengunjung dengan menampilkan pameran agensi kerajaan dan swasta termasuk pameran Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040) yang merupakan panduan hala tuju strategik masa depan sektor air negara.
PETRA turut menyampaikan Anugerah Pembangunan Sektor Air dan Anugerah Penyelidikan Ekohidrologi kepada penyelidik dan institusi pengajian tinggi yang diiktiraf peringkat antarabangsa.






