
MOSCOW: Masalah kekurangan bahan api pesawat dan diesel kini melanda Asia susulan konflik di Asia Barat yang dijangka menjejaskan Eropah pada April atau sekitar awal Mei.
Pengarah Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Fatih Birol berkata, bekalan minyak pada April dijangka susut dua kali ganda, meningkatkan inflasi dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
“Masalah terbesar hari ini ialah kekurangan bahan api pesawat dan diesel. Inilah cabaran utama. Kita sudah melihatnya di Asia, tetapi tidak lama lagi, saya fikir pada April, ia akan sampai ke Eropah, atau mungkin awal Mei,” katanya menerusi podcast bersama Nicolai Tangen, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan syarikat penerbangan Jerman Lufthansa Carsten Spohr turut memberi amaran mengenai ancaman kekurangan bahan api pesawat terutama di luar Eropah, susulan gangguan bekalan akibat konflik di Asia Barat.
Pada 28 Februari lepas, Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran, termasuk di Tehran, menyebabkan kerosakan dan korban awam. Iran kemudian membalas dengan menyerang wilayah Israel dan kemudahan tentera AS di Asia Barat.
Ketegangan berkaitan Iran itu telah membawa kepada sekatan secara de facto di Selat Hormuz, laluan utama penghantaran minyak dan gas asli cecair dari negara Teluk Parsi ke pasaran global, serta menjejaskan tahap eksport dan pengeluaran minyak di rantau berkenaan sekali gus mendorong kenaikan harga.







