KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan meneliti cadangan mengeluarkan lesen khas kepada pelancong bagi menjalankan aktiviti mendulang emas secara tradisional di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Usahawan dan Pertanian Asas Tani, Kamaruddin Md Noor, cadangan tersebut bertujuan mempelbagaikan produk pelancongan negeri serta memberi peluang kepada pengunjung merasai sendiri pengalaman mendulang emas tanpa penggunaan sebarang jentera berat.
“Hasrat kita bukan untuk menafikan peluang penduduk tempatan, sebaliknya lebih kepada memperkenalkan aktiviti mendulang emas sebagai tarikan pelancongan.
“Pelancong bukan datang untuk memperoleh emas dalam jumlah besar, tetapi sekadar mencuba kaedah tradisional. Jika mereka menemui emas, itu dianggap rezeki,” katanya.
Kamaruddin berkata, sekiranya diluluskan, lesen tersebut akan diberikan dalam jumlah terhad bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap aktiviti penduduk setempat yang sudah lama bergantung kepada kegiatan mendulang.
“Ini masih di peringkat cadangan dan belum dimuktamadkan. Namun kita melihat potensi besar aktiviti ini sebagai satu tarikan baharu pelancongan negeri,” katanya.
Sebelum ini, jumlah pendulang di Hulu Kelantan meningkat sehingga 100 peratus dalam tempoh seminggu susulan keputusan kerajaan negeri membenarkan aktiviti mendulang emas di tanah kerajaan dengan syarat tertentu.
Lonjakan itu merangkumi bukan sahaja penduduk tempatan, malah individu dari luar daerah serta negeri jiran seperti Terengganu dan Pahang yang turut datang ke Hulu Kelantan untuk mencuba nasib mendulang emas.
