KUALA LUMPUR : Keputusan rawatan pesakit kekal menjadi tanggungjawab eksklusif doctor.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, menegaskan hanya doktor berkelayakan berhak menentukan rawatan yang sesuai berdasarkan penilaian profesional terhadap keadaan pesakit.
Beliau menambah, syarikat insurans, pengendali takaful (ITO) dan Pentadbir Pihak Ketiga (TPA) tidak mempunyai kuasa untuk menentukan jenis atau kaedah rawatan di negara ini, sekali gus memastikan bidang kuasa perubatan kekal di tangan pakar kesihatan.
“Dalam kes di mana rawatan tidak mengikut protokol rawatan yang lazim, ITO akan membuat semakan lanjut yang sewajarnya untuk memahami sebab klinikal bagi rawatan terbabit.
“Jika rawatan itu didapati perlu secara perubatan, tuntutan mestilah dibayar. Ini penting bagi mengawal inflasi tuntutan perubatan yang berpunca daripada pembaziran dan penyalahgunaan.
“Kalau ia tidak dikawal boleh menyebabkan kenaikan premium insurans yang tidak munasabah dan menjejaskan semua pemegang polisi,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang mahu tahu langkah diambil terhadap pembabitan syarikat insurans dalam keputusan perubatan, penarikan surat jaminan, dan penolakan tuntutan berdasarkan ketidakpatuhan terhadap protokol.
Pada masa sama, Hui Ying menjelaskan sekiranya sesuatu rawatan yang disyorkan tidak dilindungi di bawah polisi insurans, pesakit masih boleh menerimanya dengan menanggung sendiri kos rawatan tersebut.
Beliau turut memaklumkan bahawa berdasarkan data industri, sektor insurans dan takaful (ITO) mengekalkan kadar kelulusan tuntutan yang tinggi, iaitu melebihi 90 peratus, sekali gus menunjukkan komitmen industri terhadap kebajikan pelanggan.
“Namun begitu, kerajaan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak industri perubatan, hospital dan IPO sedang mengaktifkan semula Jawatankuasa Mekanisme Aduan Kesihatan.
“Jawatankuasa ini berperanan sebagai platform industri untuk menangani isu amalan operasi dan perniagaan seperti menyelaraskan amalan operasi bagi mengurangkan kelewatan dalam pengeluaran surat jaminan dan menyemak kes di mana terdapat pertikaian berkenaan dengan rawatan yang perlu dibayar di bawah polisi,” katanya.
