KUALA LUMPUR: Usaha mengesan dalang utama skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau Jho Low, masih giat diteruskan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menegaskan kerajaan komited membawa Jho Low serta sekutunya ke muka pengadilan bagi memastikan keadilan ditegakkan dalam kes 1MDB.
“Saya juga difahamkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa usaha mereka untuk mengesan Jho Low dan sekutunya masih berterusan.
“Pihak PDRM kekal bekerja dengan agensi penguatkuasaan tempatan dan di luar negara untuk mendapatkan maklumat terkini,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen Malaysia, hari ini.
Media antarabangsa baru-baru ini melaporkan, usahawan yang sedang diburu itu dipercayai kini menetap di Shanghai, China.
Pendedahan mengejutkan mengenai keberadaan dalang utama skandal 1MDB, itu dibuat dua wartawan penyiasatan terkenal, Bradley Hope dan Tom Wright, menerusi episod khas Finding Jho Low: Live with Bradley Hope & Tom Wright yang disiarkan pada Jumaat lalu.
Menurut mereka, Jho Low kini dipercayai menetap di kawasan elit Green Hills, memandu kereta mewah serta menggunakan pasport Australia palsu. Lebih mengejutkan, beliau didakwa menjalankan operasi dari Pusat Kewangan Shanghai, walaupun pihak berkuasa Malaysia masih giat menuntut ekstradisinya.
Laporan itu turut mendedahkan bahawa Jho Low kini memegang peranan sebagai penasihat strategik kepada kerajaan China, khususnya dalam membantu syarikat-syarikat yang dikenakan sekatan antarabangsa untuk terus beroperasi di peringkat global.
Dalam laporan itu juga, Jho Low didakwa kini memegang peranan sebagai penasihat strategik kepada kerajaan China, khususnya membantu syarikat yang dikenakan sekatan antarabangsa untuk terus beroperasi di peringkat global.
Sementara itu, mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tiga pertuduhan dihadapinya, Azalina berkata, beliau sudah menerima maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
“AGC sedang meneliti dan mempertimbangkan semua aspek sebelum mengambil apa-apa tindakan selanjutnya,” katanya.
Pada 20 Jun lalu, Najib menerima DNAA daripada tiga tuduhan pengubahan wang haram dana syarikat pelaburan strategik, SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta.
Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy, membuat keputusan membenarkan permohonan Najib minggu lalu untuk mendapatkan DNAA selepas mendapati tempoh masa yang tidak menentu dan tidak pasti yang menyebabkan bekas perdana menteri itu terpaksa berdepan pertuduhan tanpa sebarang penyelesaian.
Muniandy berkata, ia menyebabkan penantian panjang untuk perbicaraan yang menjadi beban berlarutan kepada tertuduh, sekali gus menafikan hak beliau mendapatkan penyelesaian sewajarnya dan tepat pada masanya.
