KUALA LUMPUR: Kerajaan menggesa syarikat pembangun permainan dalam talian, Roblox Corporation untuk memperkukuh langkah perlindungan keselamatan bagi pengguna muda susulan kebimbangan terhadap insiden melibatkan kanak-kanak dan remaja di platform berkenaan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan wakil Roblox pada 28 Oktober lalu bagi membincangkan penyertaan belia Malaysia dalam platform permainan tersebut.
Beliau berkata, Roblox memaklumkan platform itu kini mempunyai lebih 100 juta pengguna di seluruh dunia, termasuk lebih satu juta pengguna dari Malaysia.
“Dengan jumlah penyertaan yang besar ini, tanggungjawab untuk melindungi pengguna muda tidak boleh dipandang ringan,” katanya ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat hari ini.
Hannah berkata, kerajaan menyuarakan kebimbangan terhadap risiko pendedahan kepada kandungan tidak sesuai, interaksi tanpa kawalan serta aktiviti dalam talian yang boleh mempengaruhi pembentukan nilai dan emosi pelajar.
Susulan pertemuan itu, Roblox memberi jaminan akan mempertingkat ciri keselamatan melalui gabungan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pemantauan manusia.
Syarikat itu turut bersetuju untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia, termasuk dalam aspek perkongsian data, pemantauan aktiviti di platform serta pematuhan terhadap peraturan negara.
“Kita mahu dunia digital yang menyeronokkan, namun dalam masa sama memastikan ia membina karakter dan nilai yang betul untuk generasi akan datang,” katanya.
