KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengenal pasti kaedah terbaik untuk mengurangkan implikasi kenaikan harga kenderaan tempatan selaras dengan penguatkuasaan peraturan P.U.(A) 402/2019.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, kerajaan akan mengambil langkah mitigasi bagi meminimumkan kesan kepada rakyat.
“Kerajaan membuat pengumpulan data dan melaksanakan sesi libat urus bersama pihak industri bagi mendapatkan pandangan serta solusi kepada isu yang berbangkit,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Shamsulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai keputusan kerajaan sama ada untuk meneruskan atau menangguhkan penguatkuasaan peraturan cukai eksais itu, yang dijangka meningkatkan harga kenderaan sehingga 30 peratus mulai 2026.
Lim menjelaskan, pada masa ini, pengecualian pelaksanaan P.U.(A) 402/2019 diberikan secara eksklusif kepada pengilang bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD).
“Pengecualian ini diputuskan susulan daripada kebimbangan pihak industri automotif tempatan mengenai kenaikan harga kenderaan secara mendadak kesan dari penguatkuasaan peraturan tersebut dan bagi membolehkan industri bersedia dengan pelaksanaan peraturan P.U.(A) 402/2019 kelak,” katanya.
Bagaimanapun katanya, kesan pelaksanaan peraturan itu terhadap kenaikan harga masih belum dapat dipastikan, kerana model perniagaan syarikat CKD berbeza antara satu sama lain, menyebabkan ketidakseragaman dalam pengenaan duti eksais ke atas kenderaan yang dihasilkan.
