
PUTRAJAYA : Kerajaan Malaysia, penganalisis politik Abdul Razak Baginda bersama dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) perlu membayar RM1.4 juta kepada keluarga bekas model Mongolia, Altantuya Shaariibuu berbanding RM5 juta yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Shah Alam tahun lalu.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya, Datuk Hashim Hamzah, membuat keputusan itu selepas mengetepikan perintah asal yang memerlukan empat pihak berkenaan membayar ganti rugi berhubung kematian Altantuya pada 2006.
Hakim K. Muniandy, ketika membacakan keputusan sebulat suara, menjelaskan pengurangan ganti rugi itu dibuat kerana Mahkamah Tinggi sebelum ini didapati tersilap dari segi undang-undang dalam menetapkan jumlah RM5 juta.
Pada 16 Disember 2022, Mahkamah Tinggi yang diketuai Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini Hakim Mahkamah Rayuan) telah membenarkan tuntutan keluarga Altantuya terhadap empat defendan, termasuk kerajaan Malaysia, berhubung kematian wanita tersebut.
Keluarga mendiang, Dr. Shaariibuu Setev (bapa), Altantsetseg Sanjaa (ibu) serta dua anak lelaki, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga memfailkan saman pada 4 Jun 2007, mendakwa kematian Altantuya menimbulkan trauma mental dan psikologi, sekali gus menuntut pampasan, ganti rugi teladan dan teruk.
Nama Altanshagai Munkhtulga kemudian dikeluarkan daripada plaintif selepas meninggal dunia pada 2017.
Altantuya dilaporkan berperanan sebagai penterjemah dalam rundingan penjualan kapal selam oleh syarikat pembekal senjata Perancis, DNS, kepada kerajaan Malaysia. Dia dibunuh pada 18 Oktober 2006 oleh dua pengawal peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika itu Timbalan Perdana Menteri.
Susulan itu, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar dari UTK ditangkap dan didakwa di Mahkamah Tinggi kerana terlibat dalam pembunuhan tersebut pada November 2006.





