KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan kerajaan tidak akan memberikan bantuan secara automatik kepada rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara atas kesalahan jenayah sebaliknya ia hanya dilaksanakan apabila individu berkenaan membuat permohonan.
Menurut beliau, bantuan konsular, termasuk menghubungi keluarga, membantu mengatur khidmat peguam, serta memastikan keperluan asas tahanan dipenuhi hanya diberikan selepas permintaan rasmi diterima daripada individu terbabit.
Beliau turut menjelaskan setiap tindakan kerajaan perlu mematuhi undang-undang negara tempat rakyat itu ditahan dan selaras dengan prinsip Konvensyen Vienna 1963 mengenai Hubungan Konsular, yang menggariskan tanggungjawab sesebuah negara terhadap warganya di luar negara.
“Bantuan diberi apabila pihak berkuasa negara itu memaklumkan kepada pejabat perwakilan kita bahawa rakyat Malaysia ditahan, kita akan pergi berjumpa dan bertanyakan keperluan mereka.
“Bagaimanapun, ada juga kita (pejabat kedutaan) tidak tahu rakyat kita ditahan kerana ada negara yang menghormati hak asasi individu yang tidak mahu memaklumkan kepada kedutaan, sehinggalah mereka meminta untuk maklumkan kepada kita,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) berhubung bantuan pejabat perwakilan Malaysia di luar negara dari segi sokongan kemanusiaan dan hak asasi bagi rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara, dan sama ada terdapat peruntukan kewangan khusus bagi menjamin hak individu yang ditahan.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata kerajaan tidak menyediakan peruntukan khusus bagi melantik peguam untuk tahanan, sebaliknya tanggungjawab itu terletak kepada keluarga individu berkenaan, kecuali di negara yang menyediakan khidmat guaman percuma kepada warganegara asing.
Beliau berkata setakat 8 November lepas, sebanyak 837 rakyat Malaysia ditahan di luar negara atas kesalahan penipuan dalam talian dengan China mencatat jumlah tertinggi penahanan warganegara, iaitu 545 orang diikuti Singapura (162), Jepun (34), Korea Selatan (22), India (20), Indonesia (11) dan Thailand (10) serta sebilangan kecil di beberapa negara lain.
Bagi pecahan mengikut kaum katanya, 765 orang ialah Cina, diikuti Melayu (34), India (33) dan lima daripada etnik lain.
