
KUANTAN: Seorang kerani akaun mengalami kerugian hampir RM300,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan tawaran kerja sambilan tidak wujud melalui aplikasi TikTok, bulan lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, wanita berusia 52 tahun itu mula berkenalan dengan suspek melalui aplikasi itu pada 1 Ogos, sebelum menerima tawaran kerja sambilan melalui satu pautan menyerupai laman e-dagang.
“Mangsa menerima pautan laman web daripada suspek dan membuat pendaftaran pada laman tersebut. Wanita terbabit diarahkan membuat pembayaran terlebih dahulu atas nama tempahan pelanggan kononnya bagi urusan jualan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa menggunakan wang simpanannya sendiri untuk membuat bayaran, namun tidak menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan.
Susulan kejadian itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap tawaran kerja melalui media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan.
Beliau turut menggalakkan orang ramai membuat semakan awal di portal rasmi polis di https://semakmule.rmp.gov.my
untuk mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod penipuan.
Mereka yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan juga disarankan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.