
SERDANG: Suasana sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di MAEPS, Serdang semalam bergema dengan deruman lebih 6,000 motosikal berkuasa tinggi apabila ribuan penunggang berkumpul dalam program Unite 4 Gempa Bumi.
Program itu merupakan inisiatif julung kali anjuran Violent Storm MG dengan kerjasama 32 kelab motosikal seluruh negara.
Acara penuh warna-warni dengan semangat patriotik itu menarik lebih 10,000 pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelancong dari Indonesia, Singapura dan Thailand.
Berlangsung dari 11 pagi hingga 12 tengah malam, program ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti reruai pameran, forum diskusi berkaitan dunia permotoran, persembahan kebudayaan dan cabutan bertuah dengan hadiah bernilai lebih RM15,000.

Pengerusi penganjur, Nazatul Amin Jaffar, berkata program ini merupakan satu usaha memecahkan stigma terhadap komuniti penunggang motosikal yang sering disalah anggap.
“Matlamat kami adalah menyatukan kelab-kelab motosikal tempatan di bawah semangat cintakan negara.
“Kehadiran sahabat-sahabat dari negara jiran juga membuktikan bahawa semangat perpaduan dan hormat antara bangsa dan budaya itu wujud dalam komuniti kami,” katanya.
Program Unite 4 Gempa Bumi juga menjadi platform memperkukuh ukhuwah sesama ahli kelab sambil menyemai nilai-nilai patriotik dalam suasana santai dan penuh kebersamaan.

Ketua Kelab Motosikal Skyhawk Malaysia, Muhamad Irwan Muhamad Mustafa berkata, program ini sebagai pengalaman berharga buat para peminat motosikal.
“Kami berkumpul bukan hanya kerana minat yang sama, tetapi juga kerana cinta kepada tanah air.
“Harapan kami, program seperti ini dapat diteruskan dan diperluas pada masa akan datang,” ujarnya.






