
KUALA LUMPUR: Kedudukan keterjaminan makanan Malaysia kekal stabil susulan bekalan yang mencukupi serta tahap kemampuan rakyat yang masih terkawal berbanding negara jiran dan rakan serantau lain.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan tidak mengambil pendekatan leka, sebaliknya menyediakan kerangka dasar jangka panjang yang lebih komprehensif bagi menghadapi cabaran global semasa.
Beliau berkata, negara kini berdepan lonjakan kos logistik serta peningkatan mendadak harga input pertanian import, khususnya jagung bijian dan baja kimia.
“Apabila kos input meningkat, ia mencetuskan kesan domino yang membawa kepada inflasi harga makanan di peringkat global. Beban ini akhirnya ditanggung oleh rakyat.
“Kebergantungan kepada rantaian bekalan luar menjadikan negara terdedah kepada kejutan ekonomi dunia,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Dasar Keterjaminan Makanan Negara (DKMN) 2030 serta Pelan Tindakan DKMN 2026–2030, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Fadillah berkata, dunia kini berdepan fenomena The Perfect Storm yang merangkumi gabungan pelbagai krisis serentak sehingga menggugat kestabilan rantaian bekalan makanan global.
Menurutnya, antara faktor utama ialah perubahan iklim ekstrem seperti kemarau panjang dan banjir luar jangka yang menjejaskan hasil pertanian, selain serangan penyakit tanaman dan ternakan yang semakin kompleks.
Beliau menambah, konflik antarabangsa turut memberi kesan langsung terhadap kestabilan bekalan baja dan bijirin dunia manakala persaingan guna tanah antara pembangunan perindustrian serta pemeliharaan kawasan pertanian terus mengecilkan kawasan subur negara.
Katanya, DKMN 2030 memainkan peranan sebagai kompas utama bagi memacu transformasi sektor agromakanan negara ke arah memastikan bekalan mencukupi, keselamatan makanan terjamin dan kelestarian alam sekitar.
Melalui dasar tersebut, beliau menjelaskan, kerajaan bertekad meningkatkan pendapatan petani, pesawah dan nelayan menerusi pemodenan sektor agromakanan supaya mereka dapat menikmati kehidupan lebih sejahtera dan bermaruah.
“Kita mahu sektor agromakanan bukan sekadar pembekal makanan, tetapi berkembang sebagai pemacu ekonomi dinamik dan penyumbang signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Pengukuhan rantaian nilai dan penggunaan teknologi tinggi akan menjadikan sektor ini tonggak kekuatan ekonomi negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, keperluan menangani isu pembaziran makanan melalui pengurusan bekalan yang cekap, perubahan tabiat pengguna serta pemerkasaan inisiatif bank makanan dan teknologi kitar semula sisa organik.
Fadillah berkata, Malaysia hampir atau sudah mencapai kadar sara diri (SSR) yang baik bagi beberapa sektor makanan utama.
“Kita sangat kukuh dalam pengeluaran ayam dan telur dengan SSR masing-masing 92.9 peratus dan 107 peratus pada 2024.
“Bagi buah-buahan, SSR mencecah 96.8 peratus manakala sayur-sayuran tropika 83.1 peratus, mencukupi untuk keperluan domestik.
“Bagi susu dan padi, SSR masing-masing 66.7 peratus dan 52.9 peratus, iaitu pada tahap sederhana dan akan terus dipertingkatkan,” katanya.





