KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini kembali menjejakkan kaki ke bangunan ibu pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, dua tahun selepas dipecat daripada parti itu pada Januari 2023.
Kehadiran bekas Ahli Parlimen Rembau itu mencuri tumpuan ramai apabila beliau hadir sebagai panelis forum “Reformasi Sistem Pendidikan Pada Zaman AI dan Pemerkasaan Institusi Guru” anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang diketuai Dr. Akmal Saleh.
Kehadiran Khairy mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai kemungkinannya kembali menyertai UMNO, terutama selepas laporan media baru-baru ini yang mendakwa beliau bakal menyertai semula parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November ini.
Suasana forum tersebut bertukar gamat apabila hadirin kelihatan teruja dengan kemunculan Khairy, malah ada yang berdiri sambil melaungkan “Hidup KJ” serta memberikan tepukan gemuruh setiap kali beliau mengemukakan pandangan dan cadangan.
Dalam ucapannya, Khairy mencadangkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dimanfaatkan untuk membantu guru menyediakan bahan pengajaran dan menilai tugasan pelajar, sekali gus mengurangkan beban kerja golongan pendidik.
Di akhir sesi, Khairy merakamkan penghargaan kepada Dr. Akmal atas jemputan tersebut, yang dibalas dengan kenyataan penuh makna oleh Ketua Pemuda UMNO itu.
“Berani (anjurkan program ini) kerana masa depan negara dan berani jemput KJ demi masa depan UMNO,” kata Akmal disambut tepukan hadirin.
Ketika ditemui selepas program, Khairy hanya memberi jawapan ringkas apabila ditanya mengenai permohonannya untuk kembali menyertai parti.
“Bila sampai masa, saya akan maklumkan pada media,” katanya.
Dr. Akmal berkata, sayap Pemuda sentiasa mengalu-alukan kehadiran semula ahli-ahli lama yang masih setia kepada perjuangan UMNO, termasuk mereka yang pernah digantung atau dipecat.
“Kenapa nak gaduh lama-lama. Biarlah kita bersatu dan bertaut semula, yang penting UMNO ini boleh dibawa ke depan,” katanya.
