
KOTA BHARU: Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia memohon maaf secara terbuka susulan pengibaran bendera Israel oleh sebuah bot semasa gimik lakonan semula kekejaman rejim Zionis dalam program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza yang berlangsung di Sungai Kelantan, Jumaat lalu.
Pengerusinya, Mohd. Khairul Hafiz Hassan, berkata beliau bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penganjuran program tersebut dan menegaskan pengibaran bendera itu sama sekali bukan bertujuan mengagung-agungkan Israel.
“Saya memohon maaf sekiranya ada mana-mana pihak yang salah faham berhubung gimik persembahan pada hari kejadian.
Situasi itu hanyalah lakonan semula kejadian sukarelawan GSF ditawan tentera Israel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, tujuan utama persembahan tersebut adalah untuk menggambarkan kekejaman sebenar yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap rakyat Palestin dan bukan sebagai simbol sokongan terhadap Israel.
“Saya tiada sebarang niat untuk memuliakan bendera Israel. Sebaliknya, apa yang cuba ditunjukkan ialah kekejaman dan penindasan yang masih berlaku.
“Jika perlu, kami bersedia beri kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk siasatan,” katanya.
Mohd. Khairul menegaskan program tersebut dianjurkan secara bebas tanpa melibatkan mana-mana parti politik, sebaliknya didukung sepenuhnya oleh sumbangan masyarakat awam dan beberapa syarikat swasta.
“Negara Palestin kini hanya tinggal di Gaza sahaja, manakala banyak lagi bendera Israel berkibar di tanah milik mereka. Justeru, marilah kita sama-sama bangkit menyokong Palestin dan memastikan bendera-bendera penjajah itu dijatuhkan,” ujarnya.
Kontroversi ini tercetus selepas video insiden pengibaran bendera Israel tular di media sosial, termasuk di TikTok, sehingga mencetuskan perdebatan hangat dan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat Malaysia yang amat sensitif terhadap isu Palestin.
Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat mengesahkan pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung insiden tersebut.
Katanya, penggunaan mana-mana lambang kebangsaan asing tanpa kelulusan rasmi termasuk bendera Israel merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.