
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited memperkukuh kesalinghubungan digital negara dan memacu transformasi teknologi melalui pelbagai inisiatif strategik di bawah Belanjawan 2026.
MCMC menerusi kenyataan memaklumkan, pelaksanaan inisiatif ini bertujuan memastikan akses digital yang seimbang, inklusif dan mampu milik, sekali gus memperkasakan rakyat serta memperkukuh daya saing negara dalam ekonomi digital.
Katanya, satu daripada inisiatif utama ialah Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) dengan peruntukan RM2 bilion yang bakal membina kabel dasar laut sepanjang 3,190 kilometer dari Johor ke Sabah dan Sarawak.
“Infrastruktur ini akan mempertingkatkan kelajuan dan kestabilan Internet merentas wilayah, khususnya di Malaysia Timur.
“Di bawah projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2, sebanyak 2,700 lokasi baharu akan menerima peluasan liputan jalur lebar, termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Sebanyak RM780 juta diperuntukkan khusus untuk infrastruktur di kawasan terpencil bagi mengurangkan jurang digital nasional,” menurut kenyataan itu.
MCMC menyatakan, kerajaan turut memperuntukkan RM650 juta untuk meningkatkan sambungan Internet di hospital awam dan klinik kesihatan, menyokong kecekapan perkhidmatan kesihatan digital.
Katanya, sebanyak RM350 juta diperuntukkan kepada Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), melibatkan 1,099 pusat komuniti sebagai hab latihan dan keusahawanan digital untuk komuniti luar bandar.
“Dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara, Sistem Amaran Awal (EWS) akan dibangunkan dengan kos RM210 juta.
“Pelaburan sebanyak RM2 bilion disalurkan bagi pembangunan Sovereign AI Cloud, sebagai langkah strategik melindungi kedaulatan data negara secara selamat dan beretika.
Penubuhan AI Transformation Centre bersama Universiti Multimedia dan Center of Excellence in Ethics for Emerging Technologies pula akan menjadi pemangkin utama kepada penyelidikan, pembangunan dan tadbir urus teknologi kecerdasan buatan (AI) negara,” katanya.
MCMC turut menyokong pelaksanaan model dwirangkaian 5G, dengan matlamat mencapai liputan 80 peratus menjelang 2026.
Pendekatan ini dijangka menyokong perkhidmatan 5G yang lebih pantas, stabil dan kos efektif kepada rakyat serta perniagaan.
Kempen Internet Selamat akan diperluas bagi meningkatkan kesedaran keselamatan siber dan penggunaan Internet secara beretika di seluruh lapisan masyarakat.
Keseluruhan inisiatif di bawah Belanjawan 2026 mencerminkan komitmen MCMC untuk memacu pembangunan digital secara menyeluruh dan saksama.
Tumpuan diberikan kepada pembangunan infrastruktur, keselamatan siber, transformasi teknologi serta pemerkasaan masyarakat digital, sejajar dengan aspirasi Malaysia sebagai negara digital berdaya saing tinggi di peringkat serantau dan global.





