PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melarang penjualan produk herba ‘Hong Thai Inhaler’ di seluruh negara selepas produk tersebut dilaporkan ditarik balik di Thailand berikutan pencemaran bakteria berbahaya.
KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, produk berkenaan tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), sekali gus menjadikannya tidak sah untuk dijual di Malaysia.
Menurut kenyataan itu, KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) telah melaksanakan tindakan kawalan segera termasuk meneliti penjualan di platform e-dagang, menyekat pautan penjual terlibat dan meneruskan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang masih memasarkan produk terbabit.
“Hasil pemantauan mendapati sebanyak 335 pautan iklan dan jualan produk ‘Hong Thai Inhaler’ oleh penjual tempatan dan luar negara telah dikesan, dan notifikasi aduan telah dikemukakan kepada pihak platform berkenaan untuk menurunkan iklan tersebut,” katanya.
KKM menasihatkan orang awam supaya menghentikan penggunaan produk ini serta-merta dan mendapatkan nasihat perubatan sekiranya mengalami kesan sampingan atau gejala mencurigakan.
Jelas kementerian, penjualan dan pemilikan ubat tidak berdaftar merupakan kesalahan di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 Akta Jualan Dadah 1952.
Bagi individu, kesalahan itu boleh dikenakan denda sehingga RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM50,000.
KKM menegaskan pihaknya akan terus proaktif menjalankan pemantauan terhadap iklan ubat-ubatan dan perkhidmatan kesihatan, termasuk di platform e-dagang, bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Jualan Dadah 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Ubat (Iklan & Penjualan) 1956.
Bagi tempoh Januari hingga 30 September 2025, KKM memaklumkan sebanyak 25,335 iklan perubatan telah disaring, dengan 1,958 pautan URL dimohon untuk sekatan dan 11,287 pautan dinotifikasi kepada platform e-dagang tempatan untuk diturunkan.
Nilai rampasan produk tidak berdaftar bagi tempoh sama direkodkan sebanyak RM41.3 juta, melibatkan 10,442 item.
Selain tindakan penguatkuasaan, KKM melalui BPF turut melaksanakan kempen kesedaran ‘Tolak Ubat Tidak Sah’ (TOBaTS) bagi mendidik masyarakat mengenai risiko penggunaan produk kesihatan tidak sah. Maklumat lanjut mengenai kempen itu boleh diperoleh di laman sesawang pharmacy.moh.gov.my/tobats
KKM turut mengingatkan pengguna supaya menyemak status pendaftaran ubat melalui pelekat keselamatan hologram dan nombor pendaftaran (MAL) sebelum membuat pembelian. Semakan juga boleh dilakukan di laman web www.npra.gov.my pada ruangan Product Search.
Sebarang aduan atau maklumat mengenai penjualan ubat tidak berdaftar boleh disalurkan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my, atau dengan menghubungi Cawangan Penguatkuasaan Farmasi terdekat ataupun talian 03-7841 3200 bagi tindakan lanjut.
