KUALA LUMPUR : Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan untuk mengambil jururawat dari luar negara bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja di hospital awam, sekiranya terdapat keperluan mendesak.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bagaimanapun menegaskan bahawa langkah tersebut tertakluk kepada beberapa syarat ketat, termasuk penilaian terhadap kemahiran, kecekapan klinikal dan aspek keselamatan sebelum jururawat asing dibenarkan berkhidmat di negara ini.
“Kami di KKM tidak menolak akan usaha atau pilihan untuk mempertimbangkan kemasukan jururawat dari luar negara.
“Syaratnya adalah pastikan dari sudut keupayaan klinikal, kemahiran dan antara perkara paling mustahak adalah untuk pastikan standard, selain aspek keselamatan, kecekapan serta persoalan lain termasuk dari segi budaya dan bahasa.
“Ini semua akan kami pertimbang dan sedang pertimbang. Kalau ada permohonan yang jelas dan formal, pasti kita akan pertimbangkan segera, tetapi setakat ini belum ada,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Jimmy Puah (PH-Tebrau) mengenai kesediaan KKM mengambil jururawat dari negara luar terutama Indonesia bagi mengisi kekosongan perjawatan itu di hospital awam.
Dalam perkembangan sama, Dr. Dzulkefly memaklumkan bahawa sehingga kini KKM belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada mana-mana negeri berhubung pengambilan jururawat dari luar negara.
“Sememangnya perkara ini jadi pertimbangan dan keprihatinan atas kekurangan jumlah jururawat di seluruh negara.
“Angka paling mutakhir (jumlah jururawat seluruh negara) adalah 8,000 dan saya sangat sedar realiti ini dan bukan mudah untuk kita tingkatkannya.
“Ia memerlukan masa, misalnya dua tahun untuk program diploma (kejururawatan) dan sebagainya. Oleh itu, perlu ada cara untuk tangani jurang ini, sesegera (yang boleh),” katanya.
