
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertimbang langkah menaikkan upah serta elaun jururawat sebagai usaha menangani isu ‘perang gaji’ dan mengelakkan penghijrahan tenaga kerja itu ke luar negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, selain meningkatkan pengambilan jururawat baharu, penambahbaikan dari segi remunerasi termasuk elaun post-basic turut diberi perhatian dalam Program Kejururawatan.
Katanya, langkah itu penting memandangkan negara jiran menawarkan pakej gaji yang lebih menarik, sekali gus memberi tekanan kepada sektor kesihatan tempatan.
“Namun, kita harus akui tiada penyelesaian segera kerana proses melahirkan jururawat baharu mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun bagi satu kohort menamatkan pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2026 Peringkat Kebangsaan di Auditorium Kompleks E, di sini, hari ini.
Laporan kajian terkini oleh MBSB Research menunjukkan kadar kekosongan jawatan jururawat di negara ini kini berada pada tahap kritikal, iaitu sekitar 15 hingga 18 peratus.
Situasi itu mendorong penyedia perkhidmatan kesihatan swasta bersaing secara agresif melalui kenaikan gaji dan tawaran insentif tambahan bagi mengekalkan tenaga kerja sedia ada.
Pada masa sama, KKM mengakui isu kekurangan jururawat adalah masalah berpanjangan, berpunca antaranya daripada pelaksanaan moratorium dan penutupan beberapa Institut Latihan KKM sebelum ini.
Dzulkefly berkata, kekurangan itu bukan sahaja melibatkan jururawat berkepakaran ‘post-basic’, malah turut membabitkan jururawat am di sektor awam dan swasta.
“Ketika ini jelas berlaku ‘perang gaji’, menandakan persaingan mendapatkan tenaga kerja semakin sengit.
“Kita akan terus mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi memastikan aliran keluar jururawat dapat dibendung secara berkesan,” katanya.




