KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan mengenai seorang wanita meninggal dunia selepas mengambil produk makanan kesihatan (suplemen) yang tular di media sosial baru-baru ini.
PKKM dalam kenyataannya berkata, semakan awal mendapati produk terbabit mengandungi bahan aktif Glutathione, iaitu bahan yang disenaraikan dalam Negative List atau senarai bahan tidak dibenarkan di bawah Dokumen Panduan Pendaftaran Ubat (DRGD).
“Semakan turut mendapati produk berkenaan dijual secara dalam talian termasuk di laman e-dagang dan media sosial,” katanya.
Menurut kenyataan itu, penjualan produk terbabit tidak mematuhi Seksyen 13B (2)(d) Akta Makanan 1983 yang melarang mana-mana makanan dicampur dengan bahan tidak dibenarkan oleh undang-undang atau peraturan di bawahnya.
“PKKM menjalankan siasatan lanjut berkaitan isu ini termasuk kesahihan dakwaan, perincian produk, kepatuhan pelabelan, ramuan digunakan, serta premis pengeluar, pengimport dan pengedar di pasaran tempatan,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, seorang pengguna media sosial di Threads mendakwa seorang wanita meninggal dunia selepas mengambil suplemen berharga RM20 yang dikatakan mampu mencerahkan kulit dan dijual secara dalam talian.
PKKM memaklumkan, usaha mengesan sumber utama dakwaan tular itu giat dijalankan bagi menentukan kesahihannya.
“Berdasarkan carian awal, tiada sebarang kiriman daripada ahli keluarga atau kenalan rapat yang mengesahkan kematian wanita selepas mengambil produk berkenaan,” katanya.
PKKM meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut untuk menghubungi talian 03-88850796 atau emel ke knkbkkm@moh.gov.my bagi membantu siasatan.
