
KUALA LUMPUR: Sebuah klinik pergigian swasta di Pontian diarahkan tutup selama 30 hari selepas insiden pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik yang tular di media sosial semalam.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Abdul Azim Shamsuddin, berkata notis penutupan diserahkan kepada premis terbabit sekitar jam 8.20 pagi tadi.
Menurutnya, tindakan itu diambil kerana premis berkenaan melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDP) 2019 berkaitan pengibaran bendera.
“Setiap premis sama ada berlesen atau tidak, diwajibkan mengibar Jalur Gemilang atau bendera negeri Johor dengan cara yang betul sepanjang tempoh tertentu seperti sambutan Hari Kebangsaan.
“Penutupan dibuat mengikut peruntukan UUK 49(2) yang memberi kuasa kepada yang dipertua untuk menutup premis yang melanggar syarat lesen atau peraturan berkaitan,” katanya.
Pemilik premis diberi pilihan untuk mengemukakan rayuan bertulis dalam tempoh penutupan, namun keputusan seterusnya tertakluk kepada budi bicara pihak berkuasa tempatan.
Pegawai Daerah Pontian, Kamalludin Jamal menyuarakan rasa kecewa dengan insiden pengibaran bendera terbalik yang menurutnya tidak sepatutnya berulang, lebih-lebih lagi melibatkan sebuah premis kesihatan.
“Kami terkejut perkara ini masih berlaku, kali ini di sebuah pusat pergigian. Ia mencemarkan semangat patriotisme dan menjejaskan imej daerah.
“Saya menyeru orang ramai agar lebih peka dan memastikan Jalur Gemilang dan bendera negeri dikibarkan dengan betul,” katanya.
Beliau menasihati orang awam merujuk sumber sah seperti media sosial rasmi, pejabat daerah atau pihak berkuasa tempatan sekiranya tidak pasti tentang cara pemasangan bendera.
Insiden tersebut tular selepas video berdurasi 33 saat memaparkan bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik di klinik berkenaan dimuat naik ke media sosial semalam.