GUA MUSANG: Runtuhan baharu di KM11.95 Jalan Gua Musang–Jeli menyebabkan laluan itu ditutup sementara kepada semua kenderaan sejak semalam.
Ketua Polis Gua Musang, Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada kira-kira 7.48 malam Isnin sebelum memaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan konsesi Roadcare untuk penutupan jalan serta pemasangan tanda amaran.
Beliau berkata, runtuhan berlaku akibat pergerakan tanah pada permukaan jalan dan keadaan ketika ini tidak membenarkan sebarang kenderaan melalui kawasan berkenaan.
Tiada kemalangan jiwa atau kerosakan dilaporkan, manakala pemantauan diteruskan bagi memastikan keselamatan pengguna.
JKR dalam kenyataan memaklumkan penutupan jalan berkenaan berkuat kuasa semalam sehingga diberitahu kelak.
Kerja penggantian pembetung giat dijalankan menggunakan kaedah pemasangan paip melalui jek dengan kemajuan projek kini mencapai 60 peratus.
Pengguna jalan raya dinasihat menggunakan laluan alternatif iaitu Gua Musang–Sungai Asap–Bertam–Meranto–Jeli atau Gua Musang–Sungai Sam–Jeli.
