KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mneyatakan peranan Malaysia dalam perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja hanyalah sebagai penyelaras dan pemudah cara ke arah perdamaian, bukannya pihak yang menetapkan syarat kepada kedua-dua negara berkenaan.
Penegasan itu dibuat susulan keputusan kerajaan Thailand menggantung pelaksanaan perjanjian damai dengan Kemboja selepas insiden letupan periuk api yang mencederakan dua anggotanya berhampiran sempadan kedua-dua negara semalam.
Menurut Anwar, beliau sudah berhubung terus dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, yang memaklumkan keputusan menangguhkan perjanjian tersebut bukanlah tindakan bermusuhan, sebaliknya langkah sementara bagi menyelesaikan isu periuk api sebelum perjanjian itu diteruskan sepenuhnya.
“Sekarang ini, Parlimen Angkatan Tentera mereka berunding semula. Perjanjian itu adalah untuk berundur dari kawasan pertikaian dan selesaikan masalah letupan yang berlaku kerana periuk api. Proses ini sedang berjalan.
“Perdana Menteri Thailand tidak mempertikai peranan kita. Cuma beliau mahu Kemboja patuhi sepenuhnya perjanjian, termasuk pelepasan 18 tahanan tentera Kemboja seperti yang dipersetujui,” katanya ketika menjawab soalan di sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar menegaskan, Malaysia tidak menetapkan sebarang syarat kepada pihak terlibat, sebaliknya hanya memainkan peranan sebagai penyelaras dan pengantara bagi memastikan keamanan dapat dikekalkan.
“Semua kena faham, mereka (Thailand dan Kemboja) yang tentukan parameter, bukan kita letakkan syarat. Kita hanya bantu menyelaraskan dan memohon perdamaian. Jika ada pelanggaran, barulah timbul masalah,” jelasnya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN–Arau) yang mempersoalkan keputusan Perdana Menteri Thailand menolak cadangan menghantar lebih ramai pasukan pengaman ke sempadan negara itu baru-baru ini.
Semalam, media antarabangsa melaporkan Anutin mengancam membatalkan perjanjian damai yang dimeterai bulan lalu selepas dua anggota tenteranya cedera akibat terpijak periuk api yang dipercayai baru ditanam ketika menjalankan rondaan di wilayah Si Sa Ket.
Insiden itu merupakan letupan ketujuh dalam tempoh empat bulan, selepas siri letupan pada Julai lalu mencetuskan pertempuran sempadan paling berdarah antara kedua-dua negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Susulan kejadian berkenaan, kerajaan Thailand bertindak menggantung pelaksanaan Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang disokong oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang antara lain menetapkan langkah pengunduran senjata berat dari kawasan sempadan sebagai sebahagian usaha menormalkan hubungan dua hala.
Thailand turut menangguhkan pembebasan 18 anggota tentera Kemboja yang kini dalam tahanan, yang sepatutnya dibebaskan bermula 21 November mengikut syarat perjanjian tersebut.
Perjanjian gencatan senjata awal antara Thailand dan Kemboja dimeterai di Kuala Lumpur hasil usaha diplomatik Malaysia selaku pengerusi ASEAN bersama sokongan AS.
