KUALA LUMPUR: Suasana hari kedua Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) bertukar tegang apabila beberapa perwakilan mendesak agar usul berkaitan pemilihan parti yang dijadualkan tahun depan dibahaskan dengan segera.
Kurang sejam selepas sesi persidangan bermula, tiga perwakilan bangun ke mikrofon bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pimpinan yang menolak usul perbincangan berhubung pemilihan itu.
Keadaan menjadi tegang apabila Pengerusi Persidangan, Azhar Abdul Shukur, berulang kali mengarahkan perwakilan berkenaan supaya duduk dan mematuhi peraturan mesyuarat.
Namun, selepas desakan berterusan, beliau akhirnya membenarkan dua perwakilan membentangkan pandangan masing-masing mengenai isu pemilihan parti.
Pertikaian itu menyaksikan dua pendirian berbeza iaitu seorang perwakilan mencadangkan pemilihan parti ditangguhkan selepas 2026, manakala seorang lagi mahu ia diteruskan mengikut jadual asal.
Dalam kekecohan itu, seorang perwakilan dibawa keluar oleh pasukan sukarelawan Amanah, selepas berlaku insiden tolak-menolak antara beberapa individu di dewan persidangan.
Susulan insiden tersebut, Azhar mengarahkan persidangan diteruskan dengan usul lain, bagi mengelakkan keadaan kembali tidak terkawal.
Usul pertama yang dibincangkan selepas kekecohan itu ialah cadangan menaikkan had umur sayap Wanita Muda Amanah daripada 35 kepada 40 tahun.
Semalam, Naib Presiden Amanah, Mohd. Hatta Ramli, menjelaskan usul berkaitan pemilihan parti tidak akan dibahaskan dalam konvensyen kali ini kerana ia dianggap terlalu awal dan tidak selaras dengan perlembagaan parti yang melarang sebarang keputusan dibuat sebelum waktunya.
