
KUALA LUMPUR : Anggaran kos pembinaan sebuah bilik darjah mencatat kenaikan yang signifikan sejak lima tahun kebelakangan ini, dengan kadar peningkatan hampir dua kali ganda berbanding tempoh lima tahun sebelumnya.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, antara 2016 hingga 2020, kos pembinaan sebuah bilik darjah berada dalam lingkungan RM180,000 hingga RM250,000.
Bagaimanapun, beliau menambah, bagi tempoh 2021 hingga 2026, anggaran tersebut meningkat kepada antara RM280,000 hingga RM520,000.
“Peningkatan kos berkenaan dikenal pasti hasil penelitian terhadap dokumen As Tendered Detailed Abstract (ATDA) yang disediakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) berdasarkan data sepanjang 10 tahun lalu.
“Anggaran itu hanya meliputi kos blok bangunan iaitu bilik darjah, tangga, koridor dan tandas.
“Nilai anggaran di atas masih belum mengambil kira kos keseluruhan komponen pembinaan sekolah baharu yang merangkumi kerja-kerja awalan, kerja tanah, pembangunan infrastruktur lengkap, pembayaran fi profesional dan caj pembangunan kepada pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen, hari ini.
Selain itu, Fadhlina menambah, kos lain seperti pembinaan blok pentadbiran, blok Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), bilik-bilik khas, padang, serta penyediaan perabot, peralatan dan perkakasan mengikut piawaian pendidikan yang ditetapkan turut perlu diambil kira dalam pengiraan kos keseluruhan.
Beliau menjawab soalan Rafizi Ramli (PH–Pandan) yang meminta perincian metrik kos sebuah bilik darjah mengikut komponen kos, jenis sekolah, bandar atau luar bandar serta negeri bagi setiap tahun dari 2015 hingga 2025.
Menurut beliau, peningkatan kos projek bergantung kepada faktor logistik, keadaan kerja tanah, pembangunan infrastruktur luar, urusan utiliti, bayaran kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan perolehan perabot serta kelengkapan.
“Justeru, di beberapa kawasan akan berlaku peningkatan kos berpandukan Jadual Kadar Harga 2025 yang disediakan oleh JKR.
“Bagi tempoh pelaksanaan projek sekolah, fasa prabina dari kelulusan hingga keluarnya Surat Setuju Terima (SST) bergantung kepada kaedah pelaksanaan dan keperluan pelaksanaan pengurusan nilai berdasarkan Pekeliling Kementerian Ekonomi Bil. 1/2024,” ujarnya.





