SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memohon sedikit masa bagi menjalankan kajian menyeluruh berhubung cadangan mengembalikan pelaksanaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kajian tersebut perlu dilaksanakan secara teliti bagi menilai sistem pentaksiran yang telah dilaksanakan sebelum ini termasuk keberkesanan terhadap perkembangan murid secara holistik.
“Kita mohon sedikit masa kerana kajian ini sedang dijalankan dan mandat sudah saya berikan kepada Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK).
“Di peringkat KPM, kita sudah mempunyai pandangan awal dan kajian menyeluruh akan dilakukan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau hari pertama pembukaan sekolah bagi kalendar akademik sesi 2026/2027 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Regent, Elmina, di sini hari ini.
Fadhlina berkata, kajian berkenaan turut mengambil kira maklum balas serta permintaan ibu bapa selain menilai pelaksanaan sistem pentaksiran sedia ada.
Menurutnya, KPM menjangkakan kajian tersebut dapat diselesaikan dalam tahun ini sebelum dibentangkan kepada pihak berkaitan secepat mungkin.
Minggu lalu, Fadhlina berkata, kementeriannya mengaktifkan semula MPPK bagi mengkaji keperluan pelaksanaan semula UPSR dan PT3 selepas mengambil kira permintaan ibu bapa yang mahu peperiksaan tersebut dipertimbangkan semula.
UPSR dimansuhkan pada 2021 manakala PT3 pada 2022 sebelum kedua-duanya digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
