NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) kini sedang menyiasat punca segelintir guru baharu didakwa gagal melapor diri di sekolah penempatan masing-masing.
Menterinya, Fadhlina Sidek, memaklumkan tindakan tersebut ekoran terdapat guru yang tidak hadir pada hari pendaftaran guru baharu pada Isnin lalu.
Beliau berkata, pihaknya menunggu laporan lengkap berhubung perkara itu bagi mengenal pasti alasan yang diberikan sebelum tindakan susulan diambil.
“Saya ingat mereka mendaftar diri pada Isnin, maka masih ada masa untuk kita lihat puncanya secara keseluruhan.
“Sebaik mendapat laporan penuh selepas selesai penempatan, mungkin kita maklumkan kerana sekarang ini belum dapat maklumat penuh.
“Ia penting untuk kita pastikan isu guru tidak melapor diri perlu segera ditangani supaya isu kekurangan guru dapat kita atasi,” katanya selepas majlis penyerahan Aset Sekolah Angkat Madani Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Dalam pada itu, Fadhlina menegaskan meskipun jumlah guru yang tidak melapor diri adalah kecil dan tidak menjejaskan keseluruhan operasi, namun isu tersebut tetap perlu diberi perhatian sewajarnya.
Sebelum ini terdapat laporan sebanyak tujuh guru yang diambil menerusi inisiatif Pengambilan Khas Guru Sarawak dilapor meletak jawatan.
Sementara Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli, dilaporkan berkata seramai 51 orang tidak melapor diri.
