KUALA LUMPUR : Penubuhan Suruhanjaya Halal di bawah Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) disifatkan sebagai inisiatif penting untuk memperkukuh ekosistem halal negara secara lebih menyeluruh dan tersusun, sekali gus membantu usahawan tempatan meningkatkan daya saing di pasaran global.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri R. Ramanan, menjelaskan bahawa selepas tahun 2017, kementerian tidak lagi menerima peruntukan khas bagi urusan pensijilan halal kerana tanggungjawab tersebut kini diletakkan sepenuhnya di bawah HDC.
Bagaimanapun, Ramanan menegaskan KUSKOP komited untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Halal yang akan ditubuhkan nanti bagi memperkukuh sokongan kepada usahawan dalam sektor produk halal.
“Memang kementerian ingin bekerjasama dengan usahawan-usahawan ini, tetapi dengan adanya Suruhanjaya Halal yang akan diwujudkan itu, ia bakal mengambil alih semua urusan dan bantuan untuk pensijilan halal,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab pertanyaan tambahan Datuk Mohd. Isam Mohd Isa (BN–Tampin) mengenai peranan kementerian dalam pengurusan sijil halal, Ramanan menjelaskan fokus KUSKOP ketika ini tertumpu kepada usaha memperkukuh daya saing produk usahawan, termasuk aspek penjenamaan dan pembungkusan produk halal.
Menurut beliau, KUSKOP komited meningkatkan keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui pelbagai program keusahawanan yang turut merangkumi pensijilan halal serta penetapan standard kualiti.
Antara inisiatif utama, katanya, ialah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) yang dilaksanakan oleh SME Corp bagi membantu usahawan meningkatkan produktiviti, pematuhan pensijilan, promosi dan pengiklanan.
“Melalui program ini, sebuah syarikat PMKS yang menjalankan perniagaan jeruk telah menerima geran bernilai RM500,000 untuk pembelian mesin dan peralatan,” katanya.
Selain itu, Program Pembangunan Keusahawanan Halal (PPKH) memberi tumpuan kepada tiga elemen utama iaitu pensijilan dan standard, pemasaran dan promosi, serta sokongan kewangan dan bimbingan teknikal.
Ramanan berkata, program itu membantu memperkukuh kapasiti produk halal dari segi penjenamaan, pembungkusan dan pelabelan, manakala Program Pengantarabangsaan Usahawan Halal (PPUH) pula berperanan mengembangkan serta mengukuhkan jenama halal Malaysia di peringkat antarabangsa.
