
PETALING JAYA: Lebih 22,000 rakyat Malaysia di seluruh negara dijangka mendapat manfaat melalui inisiatif latihan kecerdasan buatan (AI) berasaskan komuniti yang diterajui oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, inisiatif dikenali sebagai Jelajah AI MyMahir itu merupakan usaha strategik kerajaan memperkasa kemahiran AI rakyat selaras dengan keperluan semasa pasaran pekerjaan.
Katanya, program tersebut dilaksanakan oleh TalentCorp dengan kerjasama Ernst & Young Consulting Sdn. Bhd. melibatkan Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM110 juta.

“Daripada jumlah itu, seramai 12,000 peserta akan mendapat manfaat secara langsung melalui Jelajah AI MyMahir manakala baki 10,000 lagi melalui inisiatif lain yang melibatkan pelajar sekolah dan universiti, golongan wanita serta veteran tentera,” katanya selepas melancarkan program Jelajah AI MyMahir di Sungai Buloh, hari ini.
Ramanan berkata, setiap kelas latihan AI yang ditawarkan dianggarkan bernilai RM5,000 bagi seorang peserta namun disediakan secara percuma kepada rakyat Malaysia.
“Ini peluang yang sangat baik. Bukan sahaja golongan profesional, malah suri rumah serta warga emas turut mengambil bahagian dalam program ini,” ujarnya.
Menurut beliau, setakat ini seramai 700 individu sudah mendaftar dan mengikuti program yang merangkumi lima modul pembelajaran.

“Mereka telah menamatkan modul pertama dan menyatakan hasrat untuk melengkapkan kesemua lima modul bagi memperoleh pensijilan kemahiran AI,” katanya.
Ramanan berkata, sejak pelaksanaan Jelajah AI MyMahir bermula tahun lalu, lebih 1,000 individu sudah menerima latihan, dengan 500 daripadanya berjaya menamatkan keseluruhan modul.
Beliau menegaskan pendekatan Malaysia terhadap AI perlu bersifat inklusif, berteraskan rakyat dan sejajar dengan keperluan sebenar industri.
“AI kini mengubah landskap pekerjaan merentas pelbagai sektor. Tanggungjawab kerajaan adalah memastikan rakyat tidak tercicir, sebaliknya diperlengkapkan dengan kemahiran praktikal agar kekal produktif, berdaya saing dan relevan,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan Jelajah AI MyMahir membuktikan komitmen kerajaan menterjemahkan keutamaan pembangunan bakat negara kepada latihan AI yang praktikal dan mudah diakses oleh rakyat.
Setakat ini, empat sesi perintis Jelajah AI MyMahir sudah diadakan di Sabah dan Selangor.






