KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang tular selepas membuat komen berunsur lucah terhadap seorang wanita tidak dikenali dalam satu sesi siaran langsung di TikTok tampil memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.
Lelaki berkenaan yang menggunakan akaun TikTok ‘Hazren Rich Empire’ (@hazrenrich54) yang kini sudah tidak lagi aktif mengakui kesilapannya dan mendakwa dirinya terikut-ikut dengan komen pengguna lain yang turut menyertai siaran langsung tersebut.
“Anggaplah apa dalam video itu satu kesilapan. Kita sebagai manusia tidak pernah lari daripada kesilapan dan ini adalah kesilapan pertama saya.
“Saya minta maaf kepada semua. Kalau ada yang mahu mengutuk atau memaki, terpulanglah, saya sudah mohon maaf,” katanya dalam video penjelasan yang kemudian dipadam daripada akaun asal sebelum dimuat naik semula oleh pengguna lain di akaun @markyen_60.
Lelaki itu turut mempertahankan isterinya yang berada bersamanya ketika kejadian, menjelaskan wanita itu ketawa bukan kerana mendengar komen lucahnya, sebaliknya disebabkan komen pengguna lain dalam sesi siaran langsung tersebut.
“Dia (isteri) tiada kaitan pun,” jelasnya ringkas.
Terdahulu, video tular itu memaparkan lelaki berkenaan makan bersama isterinya di sebuah restoran sebelum mengeluarkan komen lucah terhadap seorang wanita yang duduk di meja berhampiran, termasuk mendakwa wanita itu tidak memakai baju dalam serta membuat kenyataan berbaur gangguan seksual.
Perbuatan itu mengundang kecaman hebat warganet yang menyifatkannya sebagai tindakan tidak bermoral dan menjatuhkan maruah wanita.
Wanita terbabit telah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi berhubung insiden tersebut untuk tindakan lanjut.
