
KOTA BHARU : Pemberian lesen mendulang emas oleh Kerajaan negeri Kelantan tidak boleh ditafsir sebagai kebebasan mutlak kepada pendulang, sebaliknya tertakluk kepada kawal selia dan peraturan ketat demi menjaga kelestarian alam sekitar.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan, menjelaskan inisiatif tersebut merupakan langkah percubaan bagi membolehkan rakyat terlibat dalam aktiviti mendulang secara berdisiplin tanpa menjejaskan keadaan sungai, struktur tebing serta keseimbangan ekosistem setempat.
“Pemegang lesen hanya dibenarkan menggali sehingga semeter dan mesti mengekalkan zon penampan di kiri serta kanan kawasan mendulang.
“Tanpa penampan, tebing boleh runtuh dan pencemaran sungai boleh berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Kerajaan Kelantan mewartakan lima kawasan mendulang emas iaitu di Sungai Tadoh dan Sungai Pergau di Jeli, Sungai Gentian di Kuala Krai, Sungai Galas di Gua Musang dan Sungai Bertam di Tanah Merah.
Mohamed Fadzli berkata, lesen itu melibatkan pelbagai jabatan teknikal termasuk Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Tanah serta Jabatan Perhutanan bagi memastikan keseimbangan antara peluang ekonomi pendulang serta kelestarian alam sekitar.
Dalam pada itu, beliau memberitahu lesen dulang emas tidak memberi hak mutlak tetapi menandakan komitmen pemegang lesen untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan.
“Dalam tempoh setahun atau dua tahun, kami akan menilai apa-apa yang boleh dipermudahkan, diperbaiki dan yang perlu dikekalkan termasuk dari segi pemeliharaan alam sekitar,” katanya.
Setakat ini, lebih 300 permohonan lesen diterima dan diluluskan, dengan permohonan masih dibuka dari semasa ke semasa mengikut kawasan yang diwartakan.






