
KUALA LUMPUR: Malaysia belum mengesan sebarang bukti berlakunya penyeludupan cip kecerdasan buatan (AI) secara besar-besaran, meskipun negara ini kini menjadi tumpuan dalam landskap industri pusat data serantau, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Beliau menjelaskan, peningkatan permintaan terhadap cip AI di Malaysia adalah kesan langsung daripada pertumbuhan pesat sektor pusat data tempatan, yang telah menimbulkan perhatian dan kebimbangan di peringkat antarabangsa.
“Pasukan kami bekerjasama rapat dengan pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Polis Diraja Malaysia, serta pemain industri untuk memantau perkara ini,” katanya dalam sidang media sempena pembentangan kad laporan MITI bagi suku kedua 2025.
“Kami juga mengadakan rundingan dengan pihak Amerika Syarikat (AS) dan syarikat teknologi utama untuk memastikan kerjasama berterusan.
“Setakat ini, tiada sebarang bukti yang menunjukkan wujudnya penyeludupan, namun jika ada, tindakan segera akan diambil,” katanya.
Sebagai langkah pencegahan, kerajaan melalui MITI mengetatkan peraturan eksport bagi cip berprestasi tinggi yang berasal dari AS minggu ini.
Langkah itu bertujuan merapatkan jurang kawal selia dan memperkukuh pengawasan terhadap item strategik di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA 2010).
Tindakan ini diambil susulan laporan Jabatan Perdagangan AS yang mencadangkan kawalan lebih ketat terhadap cip AI keluaran syarikat seperti Nvidia, bagi menghalang ia sampai ke China melalui penghantaran pihak ketiga termasuk dari Malaysia dan Thailand.
Kebimbangan Washington terhadap potensi penyeludupan cip AI mula meningkat pada awal tahun, khususnya selepas siasatan terhadap kemungkinan negara transit seperti Singapura digunakan bagi menghantar cip berteknologi tinggi ke China.
Perhatian mula tertumpu kepada Malaysia apabila Menteri Undang-undang dan Ehwal Dalam Negeri Singapura, K Shanmugam, pada 3 Mac lalu menyatakan pelayan dengan cip Nvidia yang dieksport ke Malaysia mungkin bertujuan untuk destinasi akhir lain.
Bagaimanapun, Tengku Zafrul sebelum ini menjelaskan siasatan tempatan tidak menemui sebarang bukti bahawa pelayan terbabit telah tiba atau digunakan di pusat data Malaysia sebagaimana yang didakwa.