PETALING JAYA : Penubuhan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Dewan Rakyat sejak dua tahun lalu dilihat berjaya meredakan ketegangan politik dalam kalangan ahli Parlimen daripada kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, kejayaan itu disumbangkan oleh pendekatan inklusif yang diamalkan dalam JKPK, dengan setiap jawatankuasa dianggotai 10 Ahli Parlimen mewakili kedua-dua pihak.
“Apa sahaja keputusan yang dicapai dalam JKPK mesti diterima bersama. Apabila seseorang menjadi ahli jawatankuasa ini, keputusan yang dibuat adalah secara kolektif,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Perhubungan Awam Dunia 2025 di Universiti SEGi, hari ini.
Johari turut berkongsi pengalamannya sebelum JKPK diwujudkan, apabila beliau cuba mendamaikan pertelingkahan politik dengan mengajak ahli Parlimen ke kafe Parlimen bagi mengurangkan ketegangan, namun tidak semua menyambut baik usaha itu.
“Ada yang anggap perbalahan di dalam dewan sebagai serangan peribadi, dan ini menyukarkan usaha untuk merapatkan hubungan,” ujarnya.
Tambah beliau, Ahli Parlimen seharusnya membawa agenda rakyat ke Parlimen, bukannya membawa kepentingan parti masing-masing.
“Itulah yang saya cuba sampaikan. Kalau ada tembok pemisah, kita runtuhkan untuk cari penyelesaian. Tapi ia bukan mudah,” katanya.
Johari turut memaklumkan bahawa pejabatnya kini membiayai penganjuran seminar oleh ketua-ketua JKPK bagi menjalinkan libat urus dengan masyarakat.
Antara seminar yang telah dianjurkan termasuk berkaitan hibrid lembu sado dan isu air bawah tanah, manakala seminar mengenai perumahan rakyat bakal dianjurkan dalam masa terdekat.
Antara 10 JKPK yang ditubuhkan ialah Kewangan dan Ekonomi; Kesihatan; Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertania; Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi; Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia; Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat; Alam Sekitar, Sains dan Perladangan; Keselamatan; Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa serta Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Johari menekankan bahawa pembinaan negara bermula daripada komunikasi yang telus, inklusif dan berpaksikan kepentingan awam.
“Apabila komunikasi menjadi monolog atau lebih buruk lagi, propaganda, maka kepercayaan rakyat akan luntur. Negara tidak akan dapat dibina atas asas itu.
“Kita perlu menjadi suara kepada perpaduan, kelestarian dan kematangan demokrasi serantau,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak untuk menyampaikan maklumat berdasarkan fakta dan memimpin dengan kejelasan.
Program sambutan itu disertai lebih 350 peserta terdiri daripada pelajar, pengamal komunikasi serta pemimpin industri perhubungan awam.
