
KUALA LUMPUR: Tiga keping syiling Malaysia menimbulkan tanda tanya susulan hantaran media sosial Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) yang memuat naik gambar bertajuk ‘Artifat of the Week: Coins Left at the Statue of Nathan Hale’.
Menurut akaun rasmi X agensi itu, ia ditemui di tugu peringatan tokoh perisik Nathan Hale yang terletak di luar Bangunan Ibu Pejabat Asal CIA di Langley, Virginia.
Syiling itu terdiri daripada syiling 20 sen keluaran 2018, syiling 10 sen (2017) dan syiling 5 sen (2018).
Turut menimbulkan persoalan, setiap syiling itu kelihatan mempunyai contengan simbol yang tidak dikenalpasti, termasuk bentuk menyerupai orang lidi dan tapak kaki haiwan.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan siapa yang meninggalkan syiling Malaysia tersebut dan apa makna sebenar simbol-simbol pada permukaannya.
Namun, kehadiran syiling itu telah mencetuskan pelbagai spekulasi dan tanda tanya dalam kalangan pengguna media sosial tempatan, termasuk persoalan CIA mungkin mahu memberitahu bahawa Malaysia dalam pengawasan agensi perisikan AS itu.
Bagaimanapun, agensi berkenaan tidak mendedahkan siapa yang meninggalkan syiling terbabit atau bila ia diletakkan di situ.
CIA menerusi kenyataan di laman web rasminya berkata, sebelum bertugas di luar negara pegawai CIA akan meninggalkan syiling di kaki patung berkenaan.
“Menurut legenda, perbuatan itu membawa tuah dan diyakini dapat memastikan Hale melindungi keselamatan pegawai berkenaan sepanjang misi mereka,” katanya.
Patung berkenaan didirikan bagi memperingati Hale yang digelar pegawai perisikan pertama negara itu, yang dihukum bunuh pada 1776 ketika berusia 21 tahun selepas ditangkap kerana mengintip pergerakan tentera British ketika Perang Revolusi Amerika.
Kebiasaannya, pegawai akan meninggalkan syiling suku dolar AS yang memaparkan imej George Washington, namun ada juga yang memilih syiling lain yang membawa makna simbolik atau peribadi.







