KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa kerjasama serantau yang lebih kukuh dan pantas bagi melindungi kanak-kanak daripada ancaman dalam talian yang semakin meningkat, seiring pelaksanaan pelbagai inisiatif di peringkat nasional dan ASEAN.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ASEAN perlu lebih berani kerana risiko siber kini berkembang lebih cepat daripada kemampuan kerajaan menanganinya dengan pelaku jenayah memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), deepfake dan identiti tanpa nama merentas sempadan.
Beliau berkata, mengenai Perlindungan Kanak-Kanak, ancaman dalam talian tidak mengenal sempadan sambil mengingatkan bahawa pencabul tidak memerlukan pasport dan kandungan berbahaya boleh menembusi negara.
“Satu hantaran berbahaya boleh tersebar ke sebelas negara ASEAN dalam beberapa minit. Justeru, tindakan kolektif ASEAN bukan sahaja penting, malah amat diperlukan,” katanya ketika berucap merasmikan Forum ICT ASEAN 2025 mengenai Perlindungan Kanak-Kanak hari ini.
Ahmad Zahid berkata, Malaysia turut mencadangkan tiga mekanisme serantau, termasuk penubuhan Rangkaian Pertukaran Maklumat Perlindungan Kanak-Kanak ASEAN bagi mempercepat amaran, perkongsian data dan tindak balas bersama terhadap ancaman siber.
