
KUALA LUMPUR : Malaysia menggesa genjatan senjata di Myanmar dilanjutkan dan diperluas bagi supaya bantuan kemanusiaan dapat disampaikan dengan selamat dan tanpa halangan, khususnya di kawasan yang terjejas akibat gempa bumi baru-baru ini.
Wisma Putra dalam kenyataan menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Majlis Pentadbiran Negara (SAC) dan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) supaya mengekalkan dan memperluas genjatan senjata yang diisytiharkan selepas bencana itu.
“Genjatan senjata sedia ada bukan sahaja perlu dikekalkan, malah perlu diperluaskan menjadi genjatan senjata kemanusiaan di seluruh negara.
“Genjatan senjata kemanusiaan yang menyeluruh penting untuk membolehkan operasi bantuan kemanusiaan dijalankan dengan selamat, saksama dan berkesan di seluruh negara, serta menjamin keselamatan pasukan bantuan dan perubatan di lapangan,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra turut memaklumkan Anwar dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan secara konsisten membangkitkan perkara itu dalam pertemuan mereka bersama pihak berkepentingan.
“Semasa perbincangan yang diadakan di Bangkok awal bulan ini, Perdana Menteri mengesahkan kedua-dua pihak menyatakan kesediaan untuk mengekalkan genjatan senjata,” menurut kenyataan itu.
Malaysia turut mengulangi komitmennya terhadap tindak balas kolektif ASEAN dan bersedia menyokong penyelesaian aman, terangkum dan daripada rakyat Myanmar sendiri terhadap krisis berkenaan.
Pada 23 April, tentera Myanmar mengumumkan lanjutan genjatan senjata yang diumumkan susulan gempa bumi maut bulan lepas selama seminggu sehingga 30 April.
Langkah itu bertujuan mempercepatkan usaha pembinaan semula di kawasan terjejas, menurut pihak rejim tentera.