
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) melibatkan pekerja gig bakal dibentang dalam sidang Parlimen akan datang.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kerajaan mengambil peduli setiap keluhan pekerja golongan gig yang sudah lama menuntut hak dan perlindungan diri sewajarnya.
“Kerajaan mendengar keluhan anda. Sudah bertahun-tahun mereka diberikan janji manis.
“Kerajaan bersilih ganti (tetapi) perubahan (masih) belum sampai.
“Di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan sudah menyiapkan draf RUU pekerja gig dan akan dibentangkan dalam sesi Parlimen akan datang,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Pekerja 2025 Peringkat Kebangsaan di Axiata Arena Bukit Jalil, di sini hari ini.

Steven turut menyeru kepada semua pihak agar memberi ruang kepada kerajaan untuk membela nasib pekerja gig dengan tidak menghalang proses pembentangan RUU tersebut.
“Benarkan kerajaan bentangkan RUU dalam sidang Parlimen akan datang.
“Jangan halang kerajaan pertahan hak pekerja gig,” katanya.
Steven berkata, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berpegang pada konsep kesamarataan dan menolak sebarang usaha menindas pekerja atas alasan kegawatan ekonomi atau iklim perniagaan.
“Kesusahan ekonomi tidak harus dijadikan alasan untuk menindas pekerja,” katanya.
Sempena sambutan Hari Pekerja 2025, turut diadakan Karnival Kerjaya Mega MYFutureJobs yang berlangsung sejak Isnin lalu hingga hari ini di pekarangan Axiata Arena.

Karnival yang menawarkan 10,000 peluang pekerjaan daripada lebih 150 majikan seluruh negara itu merupakan inisiatif Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).





