
KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran di negara ini mencatatkan penurunan sebanyak 3.1 peritus, sekali gus menjadi yang terendah dalam tempoh 10 tahun.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, jumlah individu yang bekerja meningkat sebanyak 17.34 juta pada tahun lalu berbanding 16.91 juta pada 2023.
Beliau berkata, kerajaan komited memperjuangkan hak pekerja terutamanya melibatkan kebajikan dan kenaikan gaji.
“Kerajaan Madani telah menaikkan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada pekerja sebanyak 20 peratus, menguatkuasakan lebih 100 penambahbaikan.
“Ini bagi memastikan tempat kerja selamat, memperkasakan kuasa runding pekerja untuk mendapatkan gaji yang lebih bermaruah dan meningkatkan pampasan gaji pekerja dengan kenaikan gaji minimum serta pelaksanaan dasar gaji progresif,” katanya.
Beliau berkata demikian Ketika berucap dalam majlis Hari Pekerja 2025 Peringkat Kebangsaan di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Sejak Isnin lalu juga berlangsung Karnival Kerjaya Mega MYFutureJobs 2025 yang menawarkan 10,000 peluang pekerjaan daripada lebih 150 majikan seluruh negara.
Inisiatif oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Dalam pada itu, Steven memaklumkan kadar penyertaan tenaga buruh turut meningkat kepada 70.6 peratus.
Ia melibatkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita meningkat kepada 56.8 peratus manakala kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran menurun daripada 37.4 peratus pada 2023 kepada 36 peratus tahun lalu.
Steven berkata, pencarum Perkeso uga meningkat kepada 9.9 juta orang.
“Jumlah pencarum PERKESO untuk mereka yang bekerja sendiri juga meningkat kepada 900,000 orang berbanding 700,000 orang pada 2023.
“Pencarum untuk Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah juga meningkat kepada lebih 500,000 orang berbanding hanya 200,000 orang pada 2023,” katanya







