
KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa Thailand dan Kemboja menunjukkan tahap kawalan diri paling tinggi dan mengambil langkah segera untuk meredakan ketegangan berhubung pertikaian sempadan kedua-dua negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pertikaian sempadan antara kedua-dua negara itu haruslah diselesaikan melalui dialog dan diplomasi dalam semangat solidariti ASEAN dan kejiranan yang baik.
“Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, mengikuti dengan penuh kebimbangan berhubung pertempuran antara pasukan tentera Thailand dan Kemboja di sempadan yang dipertikaikan pada 24 Julai lalu sehingga mengakibatkan korban jiwa.
“Kami menggesa kedua-dua pihak agar menunjukkan tahap kawalan diri yang paling tinggi dan mengambil langkah segera untuk meredakan ketegangan,” katanya menerusi hantaran Facebook Wisma Putra di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan bahawa tentera Thailand dan Kemboja bertempur semalam di kawasan pertikaian sempadan bersama, dengan kedua-dua pihak saling menuduh sebagai pencetus konfrontasi terbaru itu.
Ketegangan antara kedua-dua negara itu meningkat sejak 28 Mei susulan satu insiden berdarah di kawasan Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
Mohamad berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghubungi Perdana Menteri Kerajaan Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Kerajaan Thailand, Phumtham Wechayachai berhubung perkara itu.
Katanya, Anwar merayu secara langsung kepada kedua-dua pemimpin supaya menghentikan pertempuran serta-merta bagi mengelakkan permusuhan yang berpanjangan dan memberi ruang kepada dialog aman serta penyelesaian diplomatik.
“Malaysia bersedia menawarkan bantuan melalui khidmat baik sebagai Pengerusi ASEAN untuk memudahkan jalan penyelesaian yang harmoni dan dapat diterima oleh kedua-dua pihak,” katanya.